Thursday, March 31, 2011

MENGAPA JENAYAH BERLAKU ??????

Pengangguran

Dari kajian pihak Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, seramai 49.17% (rujuk jadual 2) orang-orang yang ditangkap tidak mempunyai pekerjaan. Mengikut penelitian pelakuan jenayah mengikut 5 peringkat umur iaitu kurang 18 tahun, 19-30     tahun, 31-40 tahun, 41-50 tahun dan 51 tahun ke atas, dapati 55.47% pelakuan jenayah indeks dilakukan oleh golongan pada peringkat umur 19-30 tahun (rujuk     jadual 3). Pada dasarnya kegagalan penduduk pada kumpulan produktif ini diserapkan ke dalam sektor pekerjaan merupakan punca kepada peningkatan perlakuan jenayah indeks kerana golongan ini yang teramai mengalami pengangguran. Oleh kerana ekonomi negara berasaskan ekonomi liberal dan kapitalis, ianya cenderung menerima kesan masalah dunia. Disebabkan pengangguran dan keperluan yang mendesak di bandar menyebabkan seseorang melakukan jenayah untuk memenuhi tuntutan kehidupan.

Peningkatan Kos sara hidup

Kepesatan perbandaran membawa pelbagai perubahan dan kemajuan ke atas sesebuah negara atau wilayah, seperti peningkatan taraf hidup penduduk kesan daripada perubahan dan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Namun demikian pada masa yang sama perbandaran yang begitu pesat akan menimbulkan kesan ke atas peningkatan kos sara hidup di bandar yang terpaksa dihadapi dan tidak dapat dielakkan serta membebankan masyarakat bandar. Peningkatan kos sara hidup turut memberi kesan kepada kemerosotan taraf sosial keluarga. Hal ini memaksa kedua ibubapa bekerja bagi menampung kos perbelanjaan yang semakin meningkat di bandar sehingga kurangnya perhatian kepada anak yang akhirnya memudahkan anak-anak terdedah kepada gejala sosial.

Perbandaran

Seiring dengan kepesatan perbandaran, wujud pelbagai masalah di bandar seperti perlakuan jenayah. Penumpuan pembangunan sosial dan ekonomi di bandar menyebabkan wujudnya ketidakseimbangan pembangunan di bandar. Akibatnya timbul masalah penghijrahan penduduk dari kawasan sekitar bandar atau dari luar bandar ke bandar. Penghijrahan penduduk penduduk ini akan meningkatkan jumlah penduduk di bandar melalui peningkatan kadar kelahiran. Situasi ini akan memberi tekanan ke atas kapasiti penyerapan gunatenaga, kesesakan serta persaingan kemudahan asas di bandar. Selain itu, kebanyakan yang berhijrah adalah golongan miskin dan menganggur. Desakan hidup serta ketidakmampuan memenuhi matlamat keperluan hidup menyebabkan golongan ini terlibat dalam kegiatan jenayah.

Sikap Masyarakat yang individualistik          

Hubungan keluarga dan kejiranan yang renggang di kalangan penduduk dan sikap penduduk yang tinggal di kawasan perumahan yang individualistik. Jika kita lihat keadaan jenayah di kampung, kenapakah kadar jenayah di kampung adalah rendah berbanding dengan kawasan bandar, ini adalah kerana sikap perpaduan dan saling bantu-membantu masih wujud di kalangan mereka tetapi berlainan di bandar terutamanya di kawasan elit, tahap individualistik begitu tinggi. Ini dengan dengan sendirinya mengecilkan ruang interaksi untuk membina satu jambatan kemasyarakatan. Tahap mengambil tahu  antara satu dengan lain berada pada tahap yang rendah.  Suatu masa dulu telah diwujudkan Rukun Tetangga di taman-taman perumahan tetapi kini kewujudan Rukun Tetangga seperti tidak wujud lagi.  Pada hal ini adalah satu mekanisme untuk meningkatkan keakraban seterusnya mengambil tahu apa yang berlaku dalam lingkaran masyarakat.

Kehadiran Warga Asing dan Pendatang Tanpa Izin

Mengikut Freedom House, sehingga 30 September 2006, terdapat 1.9 juta orang pekerja asing yang bekerja secara sah di Malaysia. Kementerian Sumber Manusia pula menyatakan pekerja asing yang bekerja secara sah ini sebahagian besar berasal dari Indonesia (64%), Nepal (10%), India (7%), Burma (5%), Vietnam (5%), Bangladesh (3%), Pakistan dan Filipina (1%) serta Negara lain termasuk China (4%). Pada masa yang sama dianggarkan lebih daripada 2 juta orang pekerja asing yang bekerja secara haram dan dikategori sebagai PATI.

Tidak dinafikan kehadiran warga asing ini akan membawa bersama budaya negatif dari negara asal dan mempengaruhi cara hidup dan budaya mereka ketika  berada di negara orang. Kanak-kanak  PATI yang terabai tanpa penjagaan kedua ibubapa juga boleh menyumbang kepada penglibatan mereka dalam jenayah.Ambil saja contoh kehidupan kanak-kanak PATI yang  boleh ditemui di Pasar Besar Kota   Kinabalu, Sabah, mereka terdedah dengan gejala yang kurang sihat seperti menghidu gam, menghisap rokok, mencuri dan bergaduh. Apakah kesan jangka panjang terhadap kanak-kanak PATI yang dibiar terus terlibat dengan aktiviti kurang  sihat ini? Bukan tuduhan, tetapi peningkatan kadar jenayah dalam kalangan pendatang asing tentu saja berkait rapat dengan proses hidup pendatang asing ini semasa mereka kanak-kanak. Malah secara tidak langsung juga tingkah laku negatif kanak-kanak PATI boleh mempengaruhi kanak-kanak warga tempatan disekelilingnya. Mengikut perangkaan tangkapan kes jenayah terhadap warga asing seramai 25% atau 361 yang terlibat dalam kes jenayah yang dilaporkan di negeri Sabah bagi tempoh Januari hingga Jun 2009. (Rujuk jadual 4)

 Pengaruh dadah

Pengambilan dadah juga mempengaruhi penjenayah dan kebanyakan dadah yang popular sekarang adalah jenis sintetik yang cara pembuatan menggunakan   bahan kimia yang tidak berkualiti. Rangsangan dadah ini menyebabkan penggunanya hilang kawalan dan menjadi lebih berani. Keberanian ini yang mendorong kepada perlakuan jenayah. Bagi penagih-penagih tegar, mereka akan sentiasa memerlukan  dadah dan untuk mendapatkan bekalan yang berterusan, bagi penagih yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan datang dari keluarga yang miskin, penagih ini  rela melakukan jenayah asalkan giannya dapat dilepaskan.

 Kurangnya didikan agama

Kurangnya didikan agama yang sepatutnya dipertekankan sejak dari kecil lagi akan membentuk akhlak dan keperibadian yang mulia di kalangan remaja.  Ibubapa sepatutnya membimbing anak-anak dan menjadikan diri mereka sebagai contoh.

Kelemahan Pengkuatkuasaan undang-undang dan sistem keadilan jenayah.

Sebagai manusia biasa, kita tidak lari dari membuat kesilapan dan tidak dapat dinafikan bahawa di dalam setiap Jabatan terdapat kelemahan dalam   menguatkuasa undang-undang. Manusia sekarang semakin bijak, dan pihak penguatkuasa perlu mendapat kerjasama daripada masyarakat untuk mengetahui trend terkini atau modus operandi yang digunakan oleh penjenayah bagi memastikan jenayah dapat dibendung. Kelemahan dalam sistem keadilan jenayah perlu dikaji dari masa ke semasa selari dengan perubahan era globalisasi. Selain itu, hukuman yang dijatuhkan ke atas penjenayah yang telah disabitkan dengan sesuatu      kesalahan jenayah, perlulah lebih berat iaitu setimpal dengan kesalahan yang         dilakukan dan bagi penjenayah tegar, pembebasan dengan jaminan mahkamah,    sementara menanti tarikh perbicaraan perlu dikaji semula kerana dari kajian kebanyakan penjenayah yang dibebaskan atau yang keluar dari penjara akan           melakukan semula kesalahan yang sama.

Pengaruh negatif media massa

Tidak dapat disangkal bahawa keterbukaan dalam globalisasi dunia hari ini merupakan salah satu penyebab berlakunya jenayah salah laku masyarakat secara meluas.Internet begitu berpengaruh  berbanding media lain karana sifatnya yang dapat menerobos sempadan negara. Ia sukar ditapis, disekat dan dihalang   tidak seperti media lain. Bahan-bahan lucah dengan begitu mudah memasuki negara. Siaran-siaran radio, TV dan video yang mengandungi unsur-unsur ganas,   budaya barat, tahyul dan seks bebas akan mewujudkan suasana sekeliling yang semakin rosak dan tidak mustahil remaja akan mencuba aksi-aksi ganas dan adegan  yang memberahikan. Akibatnya mereka terjeremus dengan perhubungan seks bebas, sumbang mahram dan melakukan jenayah seperti mendatangkan cedera dan bunuh.     

Mengejar kemewahan

Inginkan kesenangan hidup tanpa berusaha keras untuk mendapatkan kemewahan telah mengakibatkan ramai di kalangan masyarakat melakukan jenayah. Contohnya jenayah ragut, bagi penjenayah dan sesiapa saja yang gemar melakukan kejahatan, ragut adalah kerja yang paling mudah dan menguntungkan dalam sekelip mata. Apa tidaknya dengan beberapa saat saja, dompet, telefon bimbit atau beg tangan akan dilarikan oleh peragut.

Kurang kesedaran masyarakat dalam pencegahan jenayah

Dari kajian, kebanyakan kes jenayah yang melibatkan jenayah harta benda dilakukan oleh penjenayah kerana dapatnya peluang. Masyarakat sendiri yang telah menciptakan peluang ini dengan tidak mengambil langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya terhadap harta benda mereka. Contohnya, kebanyakan kes pecah kereta berlaku kerana kecuaian mangsa sendiri yang telah meninggalkan kenderaan mereka dalam keadaan lupa dikunci atau mendedahkan harta-harta seperti beg tangan, laptop, cermin mata dan sebagainya pada pandangan umum.

Faktor persekitaran

Kurangnya pencahayaan lampu di kawasan perumahan, taman dan jalan serta lorong yang sempit dan keadaan pinggir rumah yang bersemak memudahkan  penjenayah untuk melakukan jenayah.Contohnya kes pecah rumah, penjenayah akan jadikan kawasan seperti ini sebagai sasaran mereka kerana perbuatan mereka akan terlindung dari penglihatan umum dan memudahkan mereka untuk   bersembunyi.


                      
  PENGLIBATAN REMAJA DALAM JENAYAH

Jenayah bukan soal mudah dan boleh dipandang remeh. Banyak faktor boleh mengakibatkan berlakunya jenayah dan banyak kesan negatif yang berlaku juga disebabkan oleh jenayah.  Persoalannya sekarang siapa yang melakukan jenayah ini? Jawapannya, pasti di kalangan masyarakat sendiri dan siapakah mereka ini? Sudah tentu golongan ini pernah melalui zaman kanak-kanak, remaja hinggalah dewasa. Kajian seterusnya perlu dibuat terhadap faktor yang mempengaruhi berlakunya jenayah di kalangan remaja.

Tidak dinafikan sejak kebelakangan ini negara kita sering dikejutkan dengan kejadian jenayah yang membabitkan golongan remaja. Contohnya kes yang dilaporkan di Sandakan, Sabah, mayat bogel Siti Nadirah Budah yang berusia lima tahun ditemui tertanam dalam paya dan suspek yang terlibat berumur 17 tahun.  Walaubagaimanapun, kes itu bukanlah kes     yang melibatkan remaja yang paling muda memandangkan pada tahun 2000, seorang lagi budak           lelaki berusia 12 tahun di dakwa di mahkamah kerana merogol dan membunuh Nor Shuhada  Burak yang baru berusia 6 tahun. Apakah yang mendorong golongan muda ini melakukan     jenayah? Nampaknya remaja semakin ganas serta berani melakukan pelbagai perbuatan yang bercanggah dengan norma masyarakat dan undang-undang negara. Mana perginya peranan ibubapa, pihak sekolah, rakan sebaya dan media massa dalam mendidik golongan muda ini dan apakah yang akan terjadi jika dibiarkan saja golongan ini tanpa bimbingan? Apa pula yang akan berlaku kepada negara kita nanti kerana golongan muda inilah yang akan menjadi teras kepada kepimpinan negara?


Antara faktor-faktor yang mempengaruhi berlakunya jenayah di kalangan remaja ialah;

        Institusi Keluarga

Seorang ahli antropologi, George Peter Murdock mentakrifkan bahawa  keluarga adalah satu kelompok sosial yang tinggal di bawah satu bumbung, mempunyai kerjasama dalam kegiatan ekonomi dan menambah zuriat. Faktor kepincangan keluarga dan taraf sosio-ekonomi sesebuah keluarga akan mencorak kehidupan seorang kanak-kanak. Kegagalan ibubapa sendiri untuk membetulkan kepincangan anak-anak mereka akan menyebabkan anak-anak ini tidak lagi menghormati mereka. Menurut James Becker, ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna dan ini akan  menjejaskan ketahanan diri remaja. Selain itu, dalam dunia yang serba moden          ini, masyarakat yang inginkan kemewahan akan menjadi semakin individualistik dan materialistik. Masyarakat moden tidak lagi menerima suratan takdir dan mereka percaya bahawa usaha mereka boleh membawa   kebaikan. Jika dibanding dengan masyarakat tradisional, masyarakat moden mempunyai cita-cita tinggi, mereka mahukan prestij, gaji tinggi dan barang-barang untuk kepuasan diri. Apabila kedua-dua ibubapa keluar bekerja, anak- anak akan terbiar dan tidak mendapat perhatian daripada ibubapa yang sibuk dengan kerja masing-masing. Dengan ini, remaja akan membantah dengan cara tersendiri untuk mendapatkan perhatian.

Terdapat kajian tentang hubungan di antara latar belakang keluarga yang tidak stabil dengan kerosakkan akhlak di kalangan anak-anak muda.Kebanyakan    remaja yang datang dari keluarga bermasalah dengan taraf  sosio ekonomi yang rendah adalah antara faktor utama remaja terjebak dalam kancah masalah disiplin atau lebih teruk lagi jenayah.

       Pihak Sekolah

 Sekolah merupakan sebuah komuniti yang menjadi sebahagian daripada masyarakat. Sebagai organisasi formal, sekolah mempunyai struktur kepimpinannya sendiri. Guru Besar bertanggungjawab memimpin guru-guru, kakitangan am dan para pelajar. Peringkat paling asas ialah kepimpinan guru dalam bilik darjah, aktiviti-aktiviti akademik serta kokurikulum. Kini, guru tersepit dalam menghadapi karenah pelajar bermasalah yang datang darpada pelbagai latar belakang dan corak pendidikan ibubapa. Seorang murid   warganegara Malaysia di kehendaki menerapkan nilai-nilai material dan bukan ala material, di mana jika murid ini mengingkari nilai-nilai berkenaan, maka berlakulah penyelewangan budaya. Sekarang kurikulum pendidikan   Malaysia mengutamakan penerapan nilai-nilai murni dalam mata pelajaran  untuk membina budaya masyarakat. Walaubagaimanapun terdapat juga amalan-amalan budaya yang berbeza di kalangan kumpulan-kumpulan di sekolah yang selalunya menganggap sekolah sebagai sesuatu yang tidak penting dan mengamal budaya lepak, budaya botak dan budak black metal. Kelahiran budaya ini ada hubungan  dengan cara kehidupan di luar dan jika  tidak diatasi, pelajar ini akan mudah terjebak dengan kegiatan-kegiatan yang tidak sihat yang menjurus kepada penglibatan jenayah.
           
      Media massa / Internet

Dewasa ini, media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi masyarakat khususnya golongan remaja. Melalui  teknologi yang semakin canggih, golongan remaja mudah terdedah kepada  banyak maklumat termasuk bahan yang tidak sesuai yang boleh mendatangkan bahaya jika digunakan tanpa panduan daripada golongan dewasa. Golongan  remaja mudah meniru dan mengikut hal di sekeliling mereka. Paparan adegan- adegan negatif dari filem barat yang banyak memaparkan adegan ganas     menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba dengan mengikut apa yang    mereka tonton dari video cakera padat dan sesetengah program televisyen. Selain dari cakera padat, bahan-bahan pornografi juga mudah didapati melalui  internet yang sukar dibuat tapisan oleh pihak berwajib. Oleh itu, ibubapa       seharusnya membimbing dan memberi tunjuk ajar supaya remaja ini mendapat panduan yang betul.

       Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya merupakan sumber yang paling kuat dalam mengubah nilai dan sikap seseorang apabila pengaruh keluarga berkurangan  pada peringkat lewat kanak-kanak. Kanak-kanak yang berasal dari keluarga   yang bermasalah mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan membentuk kumpulan tersendiri. Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat dan mereka akan membuat sesuatu yang di luar jangkaan untuk menarik perhatian orang lain.

Sama ada disedari  atau tidak kebanyakan masalah yang melanda  remaja masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam persekitaran. Remaja yang menganggur, pendidikan tidak kesampaian atau keciciran lebih awal, kehidupan keluarga yang tidak terurus dengan baik, kurang disiplin serta pengawalan diri, mudah   terpengaruh, asas pendidikan agama yang lemah, kurang rasa tanggungjawab dan mengharap orang lain, banyak menimbulkan masalah dan menjadi beban kepada ibubapa dan masyarakat umumnya.
Bak kata pepatah “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”, oleh yang demikian, adalah wajar bagi masyarakat dan pihak berkuasa untuk   mencari punca bagi mengatasi masalah jenayah ini. Sebagai penjaga kepada anak-anak, ibubapa perlu lebih peka dan sentiasa mengambil berat tentang  masalah yang dihadapi oleh anaknya. Sedarlah bahawa peranan ibubapa dan masyarakat adalah untuk membentuk anak-anak untuk menjadi baik. Jika sifat baik ini dapat disemai sejak mereka kecil, sudah pasti mereka akan bebas dari aktiviti-aktiviti yang tidak sihat kerana Polis hanya pihak berkuasa, tetapi masyarakat pula adalah pembentuk nilai yang baik.   

     PENCEGAHAN JENAYAH

Jenayah boleh diumpamakan sebagai penyakit. Untuk menangani jenayah, samalah seperti mencegah dan mengubati penyakit. Untuk mencegah dan mengubati penyakit secara berkesan, terlebih dahulu perlulah dikenalpasti, apakah jenis penyakit serta punca dan kemudian barulah dibuat kajian, bagaimana untuk mencegah atau  mengubatinya. Sebagai perbandingan, memerangi jenayah umpama keinginan untuk          memadamkan satu kebakaran. Melalui kaedah memadamkan kebakaran, seseorang  tidak akan dapat memadamkan api sekiranya semburan alat air atau buih daripada pemadam api itu ditujukan pada nyalaan api di bahagian atas. Sebaliknya semburan itu mestilah dihalakan kepada punca nyalaan api yang berada di bahagian bawah. Ini adalah kerana pada bahagian bawahlah letaknya ‘punca’ kebakaran itu, manakala bahagian atas adalah ‘akibat’ kebakaran itu sahaja.

            Definisi Pencegahan Jenayah

Pencegahan jenayah ialah usaha yang mengandungi strategi dan pendekatan secara reaktif dan proaktif untuk mencegah jenayah daripada berlaku,menghapuskan peluang perlakuan jenayah, menghapuskan hasrat            untuk melakukan jenayah dan mendidik serta menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam mencegah jenayah.

    Konsep Pencegahan Jenayah

Usaha awal yang dilakukan oleh masyarakat dan pihak berkuasa untuk menghalang atau mewujudkan situasi yang tidak akan memberi ruang serta peluang kepada jenayah untuk berlaku. Pencegahan jenayah merupakan tindakan bersepadu dan berterusan yang melibatkan keseluruhan warga Polis Diraja Malaysia dan    masyarakat dalam mengatur strategi dan tindakan pencegahan jenayah.

Pencegahan merangkumi kebolehan untuk menjangka kes-kes yang akan berlaku bersesuaian dengan keadaan persekitaran dan trend jenayah masa   kini, pemerhatian terhadap tingkah laku masyarakat, menganalisa keadaan dan   tempat yang berisiko, bertindak mengurangkan peluang dan mengambil          tindakan-tindakan untuk mencegah jenayah daripada berlaku.

Pendekatan Pencegahan Jenayah Dari Sudut Masyarakat

Masyarakat memainkan peranan paling penting dalam membantu mencegah atau mengurangkan jenayah dari berlaku. Dua pendekatan yang perlu diambil oleh masyarakat dalam mencegah jenayah.

1 .   Komitmen orang ramai dalam menjaga harta benda sendiri dan ini akan mengurangkan peluang penjenayah untuk bertindak. Kajian dibuat terhadap penjenayah, kebanyakkan mereka melakukan jenayah kerana peluang yang dicipta oleh pemilik harta tersebut. Selain itu masyarakat boleh memperketatkan lagi keselamatan sasaran dan melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan seperti RELA dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKK).

2 .   Tanggungjawab yang sah di sisi undang-undang melalui peruntukkan Seksyen 11 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) yang mewajibkan tindakan orang ramai untuk menolong Majistret, Jaksa Pendamai dan Polis dalam menangkap atau menahan orang yang telah melepaskan diri dari ditangkap, orang yang menganggu keamanan dan memberhentikan rusuhan serta gaduh gempar.

 3. Manakala Seksyen 13(1) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) memperuntukkan orang ramai untuk memberi maklumat berhubung perkara-perkara seperti yang dinyatakan di dalam Seksyen 13(1)(a) KPJ iaitu kesalahan-kesalahan terhadap Negara, kesalahan-kesalahan terhadap ketenteraman awam, kesalahan-kesalahan mengenai tubuh badan, penculikan, melarikan orang, keabdian, kerja paksa, rogol, sumbang mahram, perbuatan luar tabii, mencuri, pemerasan, rompak, khianat, pencerobohan jenayah dan pecah rumah. Selain itu, peruntukkan Seksyen 13(1)(b) KPJ, orang ramai juga diwajibkan untuk member maklumat berhubung hal kematian. Kegagalan orang ramai untuk memberi maklumat ini kepada pihak Polis, merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 176 Kanun Keseksaan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan atau dengan denda boleh sampai RM1,000.00 atau kedua-duanya sekali.
                       

STRATEGI PENYELESAIAN

Pada umumnya jenayah seolah-olah berkisar hanya pada masalah sosial dan  keselamatan. Namun hakikatnya jenayah adalah masalah yang berhubung rapat dengan soal pendidikan. Dalam konteks ini, jenayah hanyalah umpama buah ‘busuk’ yang muncul di hujung ‘tangkai’, sedangkan iasebenarnya sudah bermula lebih awal iaitu pada ‘akar’. Selalunya fokus kita hanya terbatas untuk menangani ‘presenting problem’ yang bersifat luaran. Jarang kita mahu menyelam untuk mencari hakikat atau ‘real problem’ yang bersifat dalaman. Akibatnya, jalan penyelesaian yang kita pilih selalunya terfokus kepada soal-soal ‘kulit’ yang bersifat hukuman, bukan lagi kepada soal isi yang bersifat pendidikan.

Oleh yang demikian pendekatan Pencegahan Jenayah haruslah dilihat dari  sudut penguatkuasaan undang-undang, kaunselling dan pendidikan yang melibatkan pelbagai pihak seperti Jabatan-Jabatan Kerajaan, Pertubuhan  Bukan Kerajaan dan masyarakat sendiri, terutamanya ibubapa.

Penguatkuasaan undang-undang

1 .   Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Seperti peruntukkan Seksyen 3(3) Akta Polis 1967, salah satu  tugas utama pihak Polis   Diraja Malaysia ialah untuk mencegah dan  mengesan jenayah.

 2.    Sistem Keadilan Jenayah
                       
 Sistem Keadilan Jenayah yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Mahkamah, Penjara (Rawatan / Pemulihan) memainkan peranan yang penting dalam mencegah jenayah di mana,pihak Polis akan mencegah dan mengesan jenayah, menangkap serta mendakwa penjenayah. Jabatan Peguam Negara akan mengkaji serta   mengubal undang-undang selari dengan trend jenayah masa kini. Pihak Mahkamah hendaklah memastikan setiap kes atau penjenayah yang dituduh di mahkamah dibicara secepat mungkin agar kes tidak tertangguh dengan lamanya. Hukuman yang dijatuhkan kepada penjenayah hendaklah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Tugas pihak Penjara pula ialah untuk menginsafkan serta menyedarkan banduan yang dibebaskan setelah menjalani hukuman, agar mereka tidak akan terjebak atau melakukan kesalahan jenayah lagi.

Kaunselling

Salah satu langkah pencegahan yang baik ialah melalui khidmat nasihat. Kaunselling di peringkat sekolah       atauIPT, memainkan perana penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Di samping itu kaunselling juga boleh dilaksanakan sebagai penunjuk arah kerjaya yang patut dituju oleh remaja. Selain itu para guru kaunselor di sekolah-sekolah juga boleh menganjurkan ‘Peer Kaunselling” di kalangan pelajar-pelajar. Ini adalah jalan yang baik untuk membantu hubungan yang sihat di kalangan remaja dan memupuk rasa tanggungjawab di antara satu sama lain. Menurut kajian seperti dicatatkan dalam Cohen (1975) dan Phelps (1976), remaja lebih mudah meluahkan masalah mereka di kalangan rakan sebaya dengan mereka.
Oleh itu  program ini bermanfaatkan jika dirancang dengan teliti dan mengambil mereka yang berpengalaman dan mempunyai asas-asas kaunselling remaja untuk menganjurkan dan memantapkan program tersebut.

Selain itu, pihak-pihak NGO juga memainkan peranan yang penting dalam memulihkan balik semangat mangsa-mangsa kes-kes penderaan, rogol dan lain-lain kes jenayah. Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan ialah dengan memberi khidmat nasihat dan ceramah motivasi agar mangsa-mangsa                       ini berupaya untuk keluar dari pompongan trauma yang dialami.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui program pemulihan dalam komuniti dan pemulihan di Institusi dapat memberi peluang kepada para penjenayah juvana untuk hidup bersama masyarakat tanpa menyisihkan mereka dari aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

 Pendidikan

Jenayah adalah produk proses pendidikan yang tidak selesai dan ia adalah pelakuan lahiriah yang bermula dari dalam diri, yang berkait soal kejiwaan, perasaan dan pemikiran. Ia disebabkan oleh sifat-sifat dalaman yang   negatif. Misalnya rogol, bunuh, rompak adalah lahir daripada sifat-sifat buruk dalam diri pelaku akibat daripada sikap tamak, buas, marah, hasad dengki, kecewa dan rakus. Dengan ini jelaslah sifat-sifat buruk  yang menjadi punca  berlakunya jenayah yang tidak dapat diatasi oleh penguatkuasaan undang- undang semata-mata. Justeru undang-undang hanya boleh dikuatkuasakan pada perlakuan-perlakuan lahiriah yang ‘telah’ berlaku, sedangkan sifat-sifat buruk yang menjadi punca, tidak boleh diatasi sebelum ia diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Jabatan Pelajaran 

Melalui pendekatan akademik iaitu dengan menambahkan lagi aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah dan IPT. Ceramah-ceramah sivik yang menekankan pengetahuan agama, kesedaran mengenai jenayah dan bahaya pengambilan dadah akan memberi gari panduan kepada para pelajar untuk bertindak. Sistem pendidikan merupakan wadah yang paling baik untuk menetapkan nilai-nilai akhlak dan moral yang baik. Pendidikan moral dapat memberi pengaruh sangat besar dalam mencorak sikap dan akhlak seseorang yang akan mempengaruhi nilai-nilai sosialnya.
                        
Masyarakat

Masyarakat memainkan peranan paling penting dalam membantu dalam mencegah atau mengurangkan jenayah dari berlaku. Dua pendekatan yang perlu diambil oleh masyarakat dalam        pencegahan jenayah;
                                                
  1. Komitmen orang ramai iaitu dengan mengurangkan peluang penjenayah, memperketatkan  keselamatan sasaran dan melibatkan diri dalam aktiviti RELA dan Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK).

2. Aspirasi, harapan dan nilai satu-satu masyarakat dapat mempengaruhi pembentukan personaliti remaja. Apabila nilai- nilai dan norma-norma masyarakat sihat, remaja yang membesar dalam situasi ini turut menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab, berdedikasi, rajin berusaha dan sedia berkorban untuk menolong orang lain.

Ibubapa

Ibubapa merupakan penentu pola-pola tingkah laku remaja. Ibubapa yang sentiasa member dorongan dan bantuan dikaitkan dengan kejayaan yang tinggi (T. Marimuthu, 1990). Disiplin yang berterusan dan hubungan yang baik antara ibubapa dengan remaja dapat meningkatkan motivasi di dalam pelajaran. Keutuhan keluarga dapat menjamin kecemerlangan remaja khususnya dalam alam pendidikan dan perkembangan personaliti. Cara gaya keibubapaan atau cara asuhan dipercayai banyak mempengaruhi personaliti remaja.




No comments:

Post a Comment